Artikel
Trending

Takhalli, Tahalli, Tajalli: Menuju Bulan Ramadhan

Tidak lama lagi, umat Islam seluruh dunia akan menyambut bulan Ramadhan bagi tahun 1443 Hijrah. Itulah bulan yang sering ditunggu-tunggu untuk berpesta ibadah, kerana kelebihan dan pahala yang berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim, menyatakan janji keampunan dosa yang telah lalu bagi sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadhan dengan penuh keyakinan akan rahmat Allah.

Namun, untuk mengejar janji Allah ini perlukan persediaan yang bukan sedikit. Apa yang boleh kita buat?

Doa Rejab

Para ulama’ sudah menyusun beberapa amalan yang boleh kita lakukan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Satu daripada amalan tersebut adalah sebuah doa masyhur yang dibaca saat masuknya bulan Rejab.

اللّٰهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Ya Allah, Kau berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban, dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan.

Dalam doa ini, terkandung sebuah isyarat tentang persediaan yang perlu kita lakukan sebelum menyambut bulan yang diturunkan Al-Qur’an padanya.

Persoalannya, apakah persediaan tersebut?

Rejab Bulan Takhalli

Ada sebuah konsep tasawwuf yang diperkenalkan oleh para ahli sufi, iaitu Rejab sebagai bulan takhalli, Sya’ban sebagai bulan tahalli, dan Ramadhan sebagai bulan tajalli.

Takhalli bermaksud mengosongkan ataupun membersihkan. Oleh itu, apabila memasuki bulan Rejab, para ahli sufi ini menyarankan agar kita berusaha membersihkan diri – jasmani dan rohani – daripada sifat-sifat mazmumah dan kotoran-kotoran dosa.

Sumber: darulmurtadza.com

Ada dua amalan yang dititikberatkan ketika kita berada di bulan Rejab. Amalan tersebut adalah membaca Sayyidul Istighfar dan Istighfar Rejab. Sayyidul Istighfar ini dibaca sekali pada waktu pagi dan petang, manakala Istighfar Rejab dibaca 70 kali selepas solat Isyak.

Sya’ban Bulan Tahalli

Secara logik, apabila selesai membersihkan rumah, pasti kita akan berusaha pula untuk mencantikkan suasana di dalamnya. Bukankah begitu?

Oleh itu, kita sangat digalakkan untuk mengerjakan pelbagai amalan sunat sejurus masuknya bulan Sya’ban. Amalan-amalan sunat ini berfungsi untuk memperbaiki dan menambahbaik sifat-sifat mahmudah dalam diri, sesuai dengan maksud tahalli iaitu menghias ataupun mencantikkan.

Satu daripada amalan sunat yang sangat digalakkan adalah berselawat kepada Rasulullah. Kelebihan selawat ini tidak dapat disangkal lagi, sehingga Allah sendiri berselawat kepada baginda seperti yang termaktub dalam Al-Qur’an surah Al-Ahzab, ayat 56.

Sumber: Instagram cahaya_islam

Ramadhan Bulan Tajalli

Apabila rumah tadi sudah bersih dan cantik terhias, apa yang akan kita dapat? Sudah tentu, pemandangan yang menyejukkan mata dan segalanya tampak jelas.

Begitulah analogi apabila kita sudah melakukan persediaan awal sebelum tiba bulan Ramadhan. Hati yang bersih dan dihiasi dengan hal-hal kebaikan, maka kita akan dapat melihat keagungan Allah yang sangat pemurah kepada para hambaNya.

Itulah yang dimaksudkan dengan tajalli. Kebesaran dan kemuliaan Allah akan terasa dalam hati apabila ia bersih daripada perkara-perkara mazmumah, sekaligus menghadirkan rasa hamba dalam jiwa.

Semoga kita dapat buat persediaan sebaiknya sebelum menghadapi bulan yang penuh berkat terutama pada tahun ini, sekaligus dapat beribadah dengan penuh khusyuk kepada Allah Taala.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button