IbadahIsu Semasa

Hari Arafah: Bilakah Waktu Mustajab Berdoa?

Satu daripada rukun haji adalah wuquf di Arafah. Ketika itu, ibadah haji berada pada kemuncak, orang ramai berkumpul di kawasan padang yang luas. Pada zaman Rasulullah, baginda mengajarkan beberapa amalan untuk mendapat berkat pada hari tersebut.

Satu daripada amalan terbaik pada Hari Arafah adalah berdoa. Ini kerana waktu tersebut termasuk antara waktu mustajab dan paling dekat untuk dimakbulkan.

Photo by Ali Arapoğlu from Pexels

Kelebihan berdoa pada Hari Arafah

Terdapat pelbagai hadis bercerita tentang kelebihan berdoa pada Hari Arafah.

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,

لاَ إِلَٰهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِير

(Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”

(Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”

(Hadis diriwayatkan oleh Malik)

Adakah amalan ini khusus kepada jemaah haji sahaja?

Wukuf pada Hari Arafah dan doa mustajab ini adalah khusus kepada jemaah haji yang berada di sana di mana amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib.

(Photo by Reza/Getty Images)

Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah perkara yang dikhususkan untuk jemaah haji yang berada di Arafah, bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh tersebut, berdasarkan zon waktu di tempat masing-masing.

Tidak ada had tempoh berdoa kepada jam atau masa yang tertentu, bahkan digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf itu. Ini kerana tiada dalil khusus yang menghadkannya.

Kelebihan berpuasa pada Hari Arafah

Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk berpuasa pada Hari Arafah sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya Nabi bersabda, berpuasa pada Hari Arafah dihitung oleh Allah dengan meluputkan dosa setahun yang telah lalu dan dosa pada tahun akan datang.”

(Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)

Waktu afdhal berdoa pada Hari Arafah

Waktu Wukuf di Padang Arafah bagi tahun 2021 ini adalah seperti berikut:

12.27 pm – 7.04 pm (Mekah)

5.27pm – 12.04 am (Malaysia)

Timbul persoalan, perlu ke untuk kita samakan waktu kita berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah itu?

Jika diteliti hadis Nabi, baginda tidak menyatakan sebaik-baik doa itu ketika waktu wukuf, tetapi dinyatakan sebaik-baik doa adalah pada Hari Arafah.

Jadi, bagaimanakah mentafsirkan Hari Arafah?

Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili rahimahullah dan kebanyakan ulama yang lain menyatakan Hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Bermaksud, sepanjang hari 9 Zulhijjah ini keseluruhannya adalah mustajab.

Adapun bagi orang-orang yang mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu melaksanakan satu rukun haji yang dipanggil wukuf di Padang Arafah.

Sabda Nabi:

الحج عرفة

Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”

Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah.

Maka oleh itu, bagi orang yang mengerjakan haji mereka digalakkan berdoa ketika sepanjang waktu wukuf oleh kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.

Oleh kerana itu, jelas di sini sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa yang lebih mustajab.

Manakala bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.

Nabi bersabda:

ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Maksudnya: “Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi.”

Islam tidak akan sesekali menyempitkan ruang ibadah kepada umatnya. Berdoalah pada mana-mana waktu sepanjang kita berpuasa di Hari Arafah kerana ianya mustajab dan mujarab insyaAllah.

Artikel ini diolah daripada FB Pusat Pungutan Zakat (PPZ Selangor)

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button