HadisIsu Semasa

Hadis Palsu Tidak Bermakna Amalannya Palsu

Bercakap tentang hadis, ada pelbagai status dalam jalan periwayatan. Ia hanya melibatkan sanad iaitu mereka yang meriwayatkan hadis, tidak termasuk matan iaitu pengisian hadis tersebut.

Photo by RODNAE Productions from Pexels

Ramai orang suka berkongsi tentang hadis beserta statusnya. Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu mahupun peka dengan penerangan terhadap hukum berkaitan isi hadis berkenaan.

Satu daripada contohnya, adalah hadis tentang kelebihan solat sunat tarawih. Walaupun kita tahu hadis ini statusnya palsu, tidak bermakna bahawa solat tarawih itu tidak ada kelebihan.

Begitu juga kelebihan berpuasa sunat pada bulan Rejab. Sesiapa yang mengamalkannya masih akan dikurniakan sekurang-kurangnya pahala daripada Allah, walaupun status hadis tentang kelebihan amalan itu adalah palsu.

Photo by Naim Benjelloun from Pexels

Lalu, terjadilah persoalan tentang puasa sunat Hari Tarwiyah iaitu pada 8 Zulhijjah. Terdapat satu hadis menyatakan bahawa barangsiapa yang berpuasa pada hari itu, maka diampunkan dosanya setahun yang lalu. Ramai yang mempersoalkan status hadis ini beserta amalannya.

Sebelum kita mengupas tentang hadis ini, perlu untuk kita tahu bahawa asas hukum sunat berpuasa pada Hari Tarwiyah bukan berdasarkan hadith palsu berkenaan, tetapi KERANA ianya termasuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah (selain hari raya yang diharamkan berpuasa) yang digalakkan untuk meningkatkan ibadah dalamnya, termasuk ibadah puasa, kerana keutamaan waktunya.

Ini seperti yang diterangkan di dalam al-Manhaj al-Qawim oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, dengan Hasyiah Kubro Imam al-Kurdi dan Hasyiah Syeikh at-Tarmasi. Begitu juga terdapat di dalam Hasyiah Imam al-Baijuri.

Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

ويوم عرفة أفضل الأيام، ويسن أن يصوم معه الثمانية التي قبله، وهو مراد المصنف بقوله: “وعشر ذي الحجة”، لكن الثامن مطلوب من جهة الاحتياط لعرفة، ومن جهة دخوله في العشر غير العيد.

Dan Hari Arafah adalah sebaik-baik hari, dan sunat didahulukan berpuasa lapan hari sebelumnya, demikianlah apa yang dikatakan penulis: ‘Pada 10 (terawal) Zulhijjah’. Bagaimanapun, (berpuasa) hari yang kelapan adalah dituntut ADALAH DISEBABKAN oleh konsep ihtiyath (berhati-hati) kerana mungkin ia hakikatnya adalah 9 Zulhijjah, dan ia sebahagian 10 hari terawal selain daripada hari raya (Aidiladha).

Maka, jelas ulama-ulama Syafi’iyyah tidak mengasaskan hukum sunat berpuasa Hari Tarwiyah kepada hadis yang dikatakan sangat daif atau palsu itu, yang di dalamnya disebutkan fadilat puasa Tarwiyah, TETAPI diasaskan kepada asas dan dalil yang lain.

Adapun hadith kelebihan puasa Tarwiyah yang dipermasalahkan itu adalah kerana pada sanadnya ada  Muhammad bin as-Sa’ib al-Kalbi (محمد بن السائب الكلبي).  Ada penilai hadith yang mengkelaskan dia pendusta dan ada yang ringan sedikit jarhnya, tidak sampai pendusta. Justeru, ada kemungkinan status hadith yang diperselisihkan, sama ada hadith tersebut palsu atau daif jiddan atau munkar.

Disunting daripada artikel HADITH PALSU TIDAK BERERTI AMALANNYA PALSU oleh Dr. Mohd Khafidz Soroni (Ketua Kluster Hadis, Majlis Akademik ISLAMI) dan Ustaz Engku Ahmad Fadzil (AJK ISLAMI Kebangsaan)

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button