ArtikelIsu Semasa

Gajah Dan Surah Dalam Kalam Allah

Dalam Al-Quran, ada enam surah yang dinamakan bersempena nama haiwan. Satu daripadanya adalah surah yang ke-105, iaitu Al-Fil atau gajah.

Mengapa surah ini dinamakan sedemikian?

Image by Fauzan My from Pixabay

Menelusuri sejarah, setiap kitab yang diturunkan kepada para Rasul mempunyai beberapa fasal termasuklah peristiwa dan sejarah yang berlaku, selain hukum-hakam dan undang-undang.

Surah Al-Fil termasuk dalam Juz Amma, iaitu juzuk yang terakhir dalam Al-Qur’an. Ia mempunyai lima ayat. Sangat mudah untuk dihafal, bukan?

Tetapi, tahukah kita bahawa ada peristiwa besar yang berlaku dibalik surah ini?

Image by AD_Images from Pixabay

Menjelang kelahiran baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Makkah atau lebih tepat lagi Kaabah pernah menjadi sasaran pemusnah. Siapakah yang berani mahu memusnahkan rumah ibadah yang bertapak sekian lama atas muka bumi ini?

Siapa lagi kalau bukan Abrahah!

Abrahah adalah seorang penguasa dari Yaman. Dalam sejarah, Makkah tidak pernah sunyi daripada kunjungan orang ramai. Saban tahun, bilangan pengunjung bertambah dengan tujuan beribadah di hadapan Kaabah.

Perkara ini mengundang iri dan sakit hati kepada Abrahah. Sampai suatu masa, baginda mengarahkan rakyatnya membina sebuah gereja besar di Sana’a. Tujuan Abrahah tidak lain, iaitu untuk mengalih perhatian orang ramai daripada mengunjungi Kaabah bagi beribadah.

Sayang sekali, tindakannya gagal. Dek kerana panas hati atas usaha yang sia-sia, baginda mempersiap tentera bergajah untuk menyerang Makkah dan meruntuhkan Kaabah.

Dari sinilah, sejarah Al-Fil tercipta. Tentera bergajah Abrahah mara tanpa ada sesiapa pun berani menghalang. Bahkan, Abdul Muttalib pemimpin Makkah ketika itu mengatakan ini.

“Sesungguhnya, rumah itu (Kaabah) ada pemiliknya yang akan menjaganya.”

Abrahah bersama bala tentera yang menunggang gajah dan berjalan kaki, meneruskan perjalanan. Takdir menentukan, kawanan gajah tadi terhenti di Lembah Muhasir (antara Mina dan Muzdalifah). Ketika  itu, tanpa disangka-sangka, segerombolan burung memenuhi langit lalu dilepaskan batu-batu panas sehingga memusnahkan ketumbukan tentera Abrahah.

Nasib masih berpihak kepada Abrahah kerana baginda sempat menyelamatkan diri. Baginda mencari perlindungan sehingga ke Sana’a. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Abrahah akhirnya mati akibat penyakit kusta yang dideritai baginda.

Maka tamatlah riwayat bala tentera bergajah pimpinan Abrahah. Hal ini dirakamkan dalam Al-Qur’an sebagai peringatan bahawa tidak ada yang terlepas daripada pemerhatian Tuhan, apatah lagi jika mereka bertindak melawan secara terang-terangan.

Semoga kita semua sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayah untuk memasakkan rasa syukur dan sabar atas apa juga yang diberikan hingga ke saat ini.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button