ArtikelIbadah

BOLEHKAH PUASA PADA HARI ‘ASYURA SAHAJA?

Bulan Muharram adalah satu daripada empat bulan haram yang telah Allah muliakan. Secara khusus, Allah melarang berbuat zalim pada bulan tersebut untuk menunjukkan kehormatannya.

فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.

(Surah At-Taubah, ayat 36)

Satu daripada amal soleh yang dianjurkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam untuk dikerjakan pada bulan Muharram adalah ibadah puasa sunat. Baginda sangat menggalakkan umatnya memperbanyak puasa sunat padanya.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Puasa yang paling utama sesudah puasa Ramadhan adalah puasa pada Syahrullah (bulan Allah) Muharram. Sedangkan solat malam merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.

(Hadis Riwayat Muslim)

Puasa ‘Asyura

Pada umumnya, kita digalakkan untuk berpuasa sepanjang bulan Muharram. Bagaimanapun, perhatian khusus diberikan pada Hari ‘Asyura (10 Muharram) untuk berpuasa sunat kerana ia boleh menghapuskan dosa setahun yang lalu. Ini bertepatan dengan sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam.

وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Puasa Hari ‘Asyura, sungguh aku berharap kepada Allah agar menghapuskan dosa setahun yang telah lalu.

(Hadis Riwayat Muslim)

Bilakah Hari ‘Asyura Itu?

Hari ‘Asyura adalah 10 Muharram.

‘Asyura adalah hari kesepuluh dalam bulan Muharram. Ini merupakan pendapat Sa’id bin Musayyib dan Al-Hasan Al-Basri yang sesuai dengan riwayat daripada Ibnu ‘Abbas.

Rasullah shallallaahu ‘alaihi wasallam memerintahkan berpuasa pada Hari ‘Asyura, hari kesepuluh dari bulan Muharram.

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Diriwayatkan dalam Sahihain, daripada Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, dan Aisyah bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah berpuasa ‘Asyura dan memerintahkan untuk berpuasa bersama.

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu pernah menceritakan tentang puasa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Aku tidak penah melihat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersemangat puasa pada suatu hari yang lebih beliau utamakan atas selainnya kecuali pada hari ini, iaitu Hari ‘Asyura dan pada satu bulan ini, yakni bulan Ramadhan.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ مَا هَذَا ؟ قَالُوا : هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى، قَالَ فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Apabila Nabi sallallahu alaihi wasallam tiba di Madinah maka baginda telah melihat orang Yahudi berpuasa pada hari kesepuluh (Muharram) maka baginda bertanya: “Apakah ini?” Maka jawab mereka: “Ini merupakan hari yang baik di mana pada hari inilah Allah menyelamatkan Bani Israil daripada musuh mereka maka Nabi Musa berpuasa pada hari ini.” Maka sabda baginda: “Maka aku lebih layak dengan Nabi Musa daripada kamu,” maka baginda berpuasa pada hari ini. Dan baginda menyuruh untuk berpuasa pada hari tersebut.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Puasa tiga hari setiap bulan sejak dari Ramadhan ke Ramadhan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa Hari ‘Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa Hari ‘Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.

(Hadis Riwayat Muslim)

Apakah Hikmah Berpuasa Pada Hari Tasu’a?

Imam al-Nawawi rahimahullah menyebutkan tentang tiga hikmah dianjurkannya berpuasa hari Tasu’a:

Pertama, hikmah puasa Tasu’a adalah untuk membezakan dengan orang Yahudi yang berpuasa hanya pada hari kesepuluh (10 Muharram).

Kedua, maksudnya adalah untuk menyambung puasa Hari ‘Asyura dengan puasa di hari lainnya, sebagaimana dilarang berpuasa pada hari Jumaat sahaja. Pendapat ini disebutkan oleh Al-Khathabi.

Ketiga, untuk berhati-hati dalam pelaksanaan puasa sunat Hari ‘Asyura, khuatir berlaku kesalahan dalam perhitungan bulan qamariah, sehingga menyebabkan 9 Muharram sebenarnya adalah 10 Muharram.

Antara tiga hikmah tersebut, alasan yang paling kuat digalakkan berpuasa sunat Hari Tasu’a adalah yang pertama, iaitu untuk membezakan dengan amalan Ahli Kitab sebagaimana sabda baginda tentang puasa sunat Hari ‘Asyura.

لَئِنْ عِشْتُ إلَى قَابِلٍ لاَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Jika saya masih hidup di tahun depan, pasti akan berpuasa pada hari kesembilan (9 Muharram).

(Hadis Riwayat Muslim)

Ibnu Hajar rahimahullah dalam catatan beliau terhadap hadis ini menyatakan;

Keinginan baginda untuk berpuasa pada hari kesembilan (9 Muharram) bermaksud tidak membatasi pada hari itu saja tetapi menggabungkannya dengan hari kesepuluh (10 Muharram), baik untuk berhati-hati ataupun berbeza dengan orang Yahudi dan Nasrani. Dan ini merupakan pendapat yang terkuat dan yang disebutkan oleh sebahagian riwayat Muslim.

Bolehkah Berpuasa Pada Hari ‘Asyura Sahaja?

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam Tuhfah Al-Muhtaj menyimpulkan bahawa tidak mengapa jika mahu berpuasa pada hari itu sahaja.

(Artikel diolah dari Merebut Kelebihan Puasa Sunat 9 dan 10 Muharram | Pondok Pasir Tumboh (wordpress.com))

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button