ArtikelIsu Semasa

Berita Semasa: Sabar Sebelum Sebar

Kebelakangan ini, kita disajikan dengan pelbagai cerita melalui media sosial tanpa mengetahui kebenarannya. Kisah-kisah ini menjadi lebih parah apabila ia melibatkan golongan beragama, khususnya Islam.

Perkara ini sedikit sebanyak memberi impak yang negatif pada pandangan masyarakat terhadap anutan dan pengikut mereka. Maka, timbullah dua kem yang sering bertelagah; penyokong dan pembangkang.

Sebenarnya, agama Islam ada tatacara bagi menangani hal sebegini. Perkara tersebut dikenal sebagai tabayyun.

Apa itu tabayyun?

Tabayyun adalah perkataan arab yang bermaksud menyemak asas kebenaran sesuatu berita. Al-Qur’an ada menyatakan hal ini dalam surah Al-Hujurat ayat 6.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu seorang fasiq membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini disebabkan kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesal dengan apa yang telah dilakukan.”

Jelas dalam ayat ini bahawa sesuatu berita itu mesti diselidik jika pembawanya seorang fasiq, bagaimana pula dengan sebaran maklumat melalui media sosial daripada entah siapa?

Oleh kerana itu, Ibn Jarir dalam Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Al-Qur’an menjelaskan tentang konsep tabayyun.

“Hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguh seketika terhadap maklumat ataupun berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu tahu dan yakin akan kebenarannya. Jangan sekali-kali kamu gelojoh untuk menerimanya.”

Ada dua langkah untuk mengenalpasti kebenaran sesuatu maklumat:

  • Tidak menyebarkan dahulu maklumat yang diterima.
  • Kenalpasti sumber berita tersebut sehingga diyakini kebenarannya.

Berita tanpa sumber yang pasti ataupun diragui, sangat perlu untuk kita tanyakan kepada para pakar dan mereka yang berkeahlian dalam bidang tersebut.

Allah sendiri menegaskan hal ini dalam Al-Qur’an pada surah An-Nahl, ayat 43.

“Dan Kami tidak mengutuskan sebelum kami selain para lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada mereka yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Benar, satu daripada sifat manusia adalah tergesa-gesa. Bagaimanapun, setiap daripada kita pasti ada cara untuk mengawal perkara ini.

Mengapa sifat ini perlu dikawal? Tidak lain, ia untuk menutup pintu fitnah dan adu domba. Sabda Rasulullah:

“Sejahat-jahat hamba Allah ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecahbelah antara orang-orang yang berkasih sayang, yang melampau dan mengenakan keburukan serta aib kepada orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Perbuatan menyakiti sesama Muslim amat dilarang dalam Islam, dan pelaku yang menyebarkan berita tidak benar tentang saudaranya dijanjikan azab yang berat. Allah sendiri menyatakan hal tersebut dalam surah Al-Ahzab, ayat 58.

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan ataupun perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan mereka, maka sesungguhnya mereka (yang mengganggu) itu telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.”

Secara kesimpulan, harus kita beringat terhadap sebarang maklumat yang diperoleh.

  • Ada dua elemen dalam konsep tabayyun, iaitu tidak menyebarkan dahulu berita dan menyemak dahulu tentangnya.
  • Tabayyun amat dituntut dalam Islam, sebagai cara mengelak daripada penyebaran maklumat palsu seterusnya menimbulkan kerosakan kepada masyarakat umum.

(Artikel diolah daripada Khutbah Jumaat JAHEAINS bertajuk Kepentingan Tabayyun Dalam Islam bertarikh 23 Julai 2021)

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button