Artikel

Adakah Kita Benar-benar Bebas?

Tahun ini — 2021, Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-64. Kerajaan masih mengekalkan tema Malaysia Prihatin, memandangkan kita masih lagi belum bebas daripada serangan wabak COVID-19.

Menyentuh soal kebebasan, seringkali yang singgah dalam fikiran adalah setiap daripada kita boleh melakukan apa sahaja sesuai dengan kehendak sendiri. Tidak perlu terikat dengan apa pun.

Namun, benarkah kita bebas melakukan apa sahaja?

Jawapannya, tidak. Tentu sekali, kerana tidak ada kebebasan mutlak dalam kehidupan manusia.

Setiap daripada kita, pasti ada perkara yang membatasi aktiviti seharian. Seorang kanak-kanak misalnya, walaupun kita lihat mereka bebas bermain apa sahaja, ibu bapa tetap berperanan menyatakan mana yang baik ataupun perlu dijauhi.

Walaupun begitu, seseorang tidak terhalang daripada melakukan perkara yang dia mahu. Hal ini kita kenali dengan istilah ‘pilihan’.

Setiap daripada kita berhak untuk memilih. Itu adalah kelebihan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada manusia.

Namun, dalam masa yang sama, kita juga dikurniakan jiwa dan akal fikiran bagi menentukan sama ada apa yang bakal kita lakukan itu mendatangkan kebaikan ataupun sebaliknya. Justeru, disinilah pembatas bagi seorang manusia terhadap dirinya sendiri.

Secara norma, etika dan agama, memang tidak ada kebebasan mutlak. Bagaimanapun, pilihan diberi untuk menambahkan amal kebaikan ataupun melaksanakan perkara yang salah dan bertentangan dengannya.

Ia sesuai dengan fitrah manusia yang sifatnya diciptakan oleh satu kuasa yang agung. Bagaikan rakyat yang menjunjung perintah raja, begitulah kita manusia; perlu tunduk patuh kepada garis panduan yang diberikan Tuhan melalui lidah para nabi dan rasul.

Apa yang membezakan adalah, rahmat dan kasih sayang Tuhan mendahului kemurkaanNya kepada kita. Berbeza dengan raja yang bersifat manusiawi, tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dalam memberi kebebasan kepada rakyatnya.

Kesimpulannya, kita semua bebas, namun jangan sampai terbabas.

Sesungguhnya, pilihan ada di tangan kita!

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button