Artikel

5 Surah Pilihan Hari Jumaat

Setiap kali tiba hari Jumaat, terdapat banyak hadis daripada Rasulullah menerangkan tentang kelebihan hari tersebut berbanding hari-hari yang lain.

Amalan yang paling utama dan sangat ditekankan oleh para ulama adalah berselawat ke atas Rasulullah, berdasarkan sebuah hadis riwayat Al-Baihaqi.

“Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).”

(Hadis riwayat Al-Baihaqi)

Amalan lain yang dilakukan oleh Rasulullah pada hari Jumaat adalah membaca surah-surah tertentu di dalam Al-Qur’an. Ada lima surah pilihan yang dibaca oleh Rasulullah bermula pada malam Jumaat sehingga saat mendirikan Solat Jumaat.

Apakah surah-surah tersebut?

1. Surah Al-Kahfi

Dalam satu hadis riwayat An-Nasa’ie, Rasulullah pernah bersabda; Barangsiapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya antara dua Jumaat.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Bakr bin Mardawaih, menyatakan bahawa sesiapa yang membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan memancar cahaya dari bawah kakinya sampai ke langit, akan meneranginya kelak pada Hari Kiamat dan diampuni dosanya antara dua Jumaat.

Ia juga berfungsi sebagai pendinding daripada fitnah Dajjal, seperti yang disabdakan Rasulullah dalam hadis Riwayat Ad-Darimi; Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat dari permulaan Surah Al-Kahfi, maka ia terlindung daripada Dajjal.

Surah Al-Kahfi ini mengandungi 110 ayat, dan disyorkan untuk menghabiskannya secara berperingkat, terutama bagi mereka yang tidak dapat menghabiskan bacaan dalam satu masa.

  • Selepas Mahgrib malam Jumaat – ayat 1 hingga 31 (Kisah Ashabul Kahfi)
  • Selepas Isyak malam Jumaat – ayat 32 hingga 59 (Kisah dua pemuda dan kebun masing-masing)
  • Selepas Subuh pagi Jumaat – ayat 60 hingga 82 (Kisah Nabi Musa dan pemuda soleh)
  • Sebelum/Selepas Solat Jumaat – ayat 83 hingga 110 (Kisah Raja Zulkarnain)

2. Surah As-Sajadah

Surah As-Sajadah mengandungi 30 ayat. Dinamakan sedemikian, kerana di dalam surah ini mengandungi ayat sajadah iaitu pada ayat 15. Disunatkan untuk bersujud ketika membaca ayat tersebut, dengan bacaan berikut;

سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَوْلِهِ وَقُوَّتِهِ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Aku bersujud kepada Tuhan yang menciptakan dan membelah pendengaran dan penglihatan dengan daya dan kekuatanNya, Maha Agung Allah yang sebaik-baik pencipta.

Rasulullah melazimi surah ini setiap kali mendirikan Solat Subuh pada hari Jumaat. Surah ini menjadi peringatan kepada umat Islam agar sentiasa tunduk sujud kepada Allah sebagai tanda syukur atas nikmat Iman dan Islam.

3. Surah Al-Insan

Surah ini pula dibaca pada rakaat kedua Solat Subuh hari Jumaat. Surah ini mengandungi 31 ayat, dengan potongan yang pendek-pendek dan mudah dihafal.

Surah ini berfungsi sebagai peringatan tentang hakikat penciptaan manusia dan nikmat yang sentiasa diberikan kepada mereka. Maka, bersyukurlah atas setiap nikmat yang kita peroleh hingga saat ini.

4. Surah Al-Jumuah

Sesuai dengan namanya, Rasulullah selalu membaca surah ini ketika mendirikan Solat Jumaat. Inilah satu-satunya surah yang mewajibkan umat Islam – khusus kepada orang lelaki – untuk mendirikan Solat Jumaat.

Saat semua orang sedang sibuk bekerja, hari Jumaat terpilih sebagai penghulu segala hari untuk memberi nasihat kepada kita tentang arah tuju hidup. Maka, dalam surah ini menekankan supaya kita fokus mendirikan solat, sebelum kembali bekerja seperti biasa.

5. Surah Al-Munafiqun

Surah ini pula dibaca pada rakaat kedua Solat Jumaat. Terkandung di dalam surah ini tiga panduan utama agar kita terpelihara daripada sifat hipokrasi di dalam diri.

Hal ini disebutkan pada bahagian terakhir Surah Al-Munafiqun, iaitu berhati-hati dengan permainan dunia, perbanyakkan infaq dan sentiasa mengingati mati.

***

Itulah lima surah yang dibaca khusus pada hari Jumaat. Jom kita cuba amalkan lima surah ini, semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button